Raja Zarith Sofiah lancar Pakej Modul Sejahtera : Lindungi Diri dan Keluarga

JOHOR BAHRU 25 Sept. – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melancarkan Pakej Modul Sejahtera:Lindungi Diri dan Keluarga khusus untuk negeri ini di Berjaya Waterfront Hotel di sini semalam.

Modul itu merupakan usaha Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) negeri untuk memberi kesedaran dan pendidikan berte­rusan dalam usaha melindungi diri daripada pelbagai ancaman masa kini selain pembangunan keluarga.

Ketua Wanita Ikram ne­geri, Sabariah Manshor berkata, modul itu akan menekankan pembangunan sahsiah yang seiring melibatkan aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek bermula daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa.

“Melalui pelaksanaan modul ini diharapkan dapat menyumbang ke arah kehidupan yang sejahtera dan seterusnya melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni, menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan, maju dalam penguasaan ilmu pengetahuan serta teknologi.

“Dengan ini, seluruh ma­sya­rakat berupaya memacu perubahan ke arah mewujudkan sebuah negara rahmah untuk semua. Menerusi sebuah keluarga yang sejahtera, setiap individu akan dapat mengembangkan potensi, bakat dan kemampuan yang dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran modul tersebut. Sebelum itu, baginda merasmikan Seminar Lindungi Diri dan Keluarga – Pedofilia, Pornografi dan Jenayah Siber.

Yang turut hadir Ketua Wanita Ikram Pusat, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim; Presiden Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (Jewel), Woo Sow Pheng dan Pe­ngarah Hospital Permai Johor Bahru, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar.

Sabariah berkata, modul tersebut menawarkan empat pakej utama bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur dan boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian peserta, masa dan tempat.

“Pakej ini merangkumi pakej semai untuk empat hingga enam tahun, pakej tunas (tujuh-12 tahun), pakej mekar (13-17 tahun dan pakej sinar (18 tahun keatas).

“Pakej-pakej ini akan dilaksanakan Wanita Ikram Johor, unit Ikram Junior, unit IkramTeens dan unit Belia Ikram di bawah naungan Ikram negeri Johor,” katanya.

Mengulas tentang seminar itu, beliau berharap dapat memberikan kesedaran terhadap ancaman pedofolia, pornografi dan jenayah siber serta kaedah menanganinya bagi membina negara yang harmoni dan sejahtera.

Source

Leave a Reply