Kuota Jawatan Pembuat Dasar Bagi Wanita Perlu

JOHOR BAHARU: Penetapan kuota jawatan pembuat dasar bagi wanita di syarikat swasta mahupun sektor kerajaan perlu bagi memastikan kaum hawa terus aktif dalam usaha memacu pembangunan negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata penetapan kuota itu dalam semua bidang juga dilihat penting bagi membuktikan kewibawaan wanita dalam melakukan pelbagai pekerjaan, sekali gus menangkis tanggapan prejudis masyarakat terhadap golongan berkenaan.

“Ia adalah cara yang baik untuk memastikan sumbangan berterusan wanita dalam pembangunan negara.

“Lagi pun pada ketika ini kebanyakan pelajar di institusi pengajian tinggi adalah wanita,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL) di sini semalam.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan sebanyak 30 peratus penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam semua bidang menjelang 2016.

Pada majlis itu, Nur Jazlan yang juga anggota Parlimen Pulai menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada JEWEL. — Bernama

Source

Leave a Reply