Cadang perkenal semula Program Keselamatan Diri

http://jewelmalaysia.org/wp-content/uploads/2017/04/zarith.png_1466669285XX.jpg

Iskandar Puteri: Aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan semula Program Keselamatan Diri yang sebelum ini dikenali sebagai pendidikan seks, dalam usaha pencegahan isu seksual termasuk pedofilia.

Bagaimanapun, katanya, ia boleh dibaik pulih mengikut kesesuaian umur dan meliputi pelbagai asppek termasuk bidang agama.

Beliau berkata, dengan isu pedofilia yang menjadi kebimbangan dalam masyarakat kini, Program Keselamatan Diri difikirkan sudah boleh diperkenalkan semula kerana ia amat penting bagi memberi pendedahan dan pendidikan kepada semua masyarakat.

“Sebagai langkah pencegahan, pendedahan dan kesedaran itu perlu membabitkan semua pihak. Kerajaan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO), pakar perubatan, masyarakat serta sistem pendidikan.

“Ia paling mudah diperkenalkan di peringkat sekolah, tetapi boleh juga diperluaskan dalam kalangan NGO, polis, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai sumber tambahan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi speaker jemputan pada Ceramah Umum Fenomena Pedofilia Di Malaysia anjuran Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di Auditorium Afiniti Medini di sini, hari ini.

Berangkat ke majlis itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md Ariff dan Pengarah JPW negeri, Mohamad Ali Taib.

Leave a Reply